Perniagaan MLM terus pacu pertumbuhan Hai-O
KUALA LUMPUR 30 Mac - Bahagian pemasaran pelbagai peringkat (MLM) akan terus memacu pertumbuhan Hai-O Enterprise Bhd. ke hadapan, kata OSK Research.
"Sudah tentunya, prestasi syarikat akan terjejas oleh kelembapan ekonomi tetapi pasukan MLM yang kuat dan bermotivasi akan membantu merangsangkan jualan Hai-O Enterprise," kata firma penyelidikan itu hari ini.
Untuk tempoh sembilan bulan pertama berakhir 31 Januari 2009, pendapatan dan untung bersih Hai-O Enterprise, masing-masing berkembang 25.8 peratus dan 23.4 peratus tahun-atas-tahun, terutamanya diterajui oleh pertumbuhan berterusan bahagian MLMnya.
"Jualan runcit terkumpul meningkat 4.8 peratus tahun-atas-tahun, didorong oleh sambutan Tahun Baru Cina sementara jualan pembuatan melonjak 109.4 peratus.
"Jualan borong dan keuntungan, bagaimanapun, mengecut 7.2 peratus dan 18 peratus tahun-atas-tahun disebabkan oleh tempahan yang rendah, kelemahan ringgit dan kos pengiklanan yang tinggi," kata OSK Research dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, perbandingan sukuan mendedahkan yang semua bahagian utama mencatatkan pertumbuhan jualan yang positif iaitu dari 1.3 peratus hingga 19.8 peratus dengan MLM menunjukkan pertumbuhan paling kukuh, kata OSK Research.
Meskipun bimbang yang permintaan untuk produk MLM mungkin terjejas kerana para pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah ekoran ekonomi yang lemah, permintaan pendasar untuk produk kosmetik dan penjagaan kulit kekal menggalakkan, kata syarikat penyelidikan itu.
"Ia disokong oleh 70 peratus asas keahlian yang dimonopoli oleh kaum wanita," katanya sambil menambah yang Hai-O Enterprise akan melancarkan produk penjagaan kulit La Praise awal tahun ini.
Sementara banyak syarikat telah mengurangkan skala perbelanjaan pengiklanan dan promosi mereka, sebaliknya OSK Research berkata, Hai-O Enterprise telah memilih untuk memperuntukkan perbelanjaan besar untuk mewujudkan kesedaran terhadap produk-produknya.
"Syarikat begitu menghargai perniagaan MLMnya dan kerap mengadakan ceramah dan seminar motivasi untuk melengkapkan ahli-ahlinya dengan kepakaran tertentu bagi membangunkan keusahawanan," katanya.
Syarikat penyelidikan itu berkata yang bahagian MLM Hai-O Enterprise kekal menggalakkan berikutan marginnya yang tinggi dan produknya yang popular seperti baju dalam untuk melangsingkan badan dan penapis air, adalah antara yang laris walaupun sentimen pengguna agak lemah.
"Asas keanggotaannya juga terus berkembang sebanyak 2,000 hingga 3,000 sebulan," katanya. - BERNAMA
Sumber artikel disini
0 comments:
Post a Comment