Hai-O: Pendapatan berkembang 10 peratus
Hai-O: Pendapatan berkembang 10 peratus
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Syarikat pemasaran pelbagai peringkat, Hai-O Marketing Sdn. Bhd., menjangka pendapatannya meningkat kepada sekurang-kurangnya 10 peratus bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2010, dipacu daripada aktiviti promosi dan iklannya yang agresif.Pengarah Urusannya Ng Lip Yong berkata, sejak Mac, syarikat itu menjalankan kempen promosi yang giat melibatkan iklan televisyen serta menukar rupa bentuk 30 papan tanda besarnya.
"Kami menampilkan lebih banyak papan tanda besar dengan rupa bentuk lebih moden di sepanjang lebuh raya dan di lokasi strategik, jadi semua orang akan tahu mengenai Hai-O.
"Moral tinggi dalam syarikat sekarang, dan ini sebenarnya memberikan keyakinan kepada pengedar kami," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Syarikat itu mencatatkan pendapatan RM350 juta dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2009, pertumbuhan lebih 20 peratus daripada RM280 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Syarikat itu telahpun mencapai sasaran 100,000 anggota tahun ini.
Menurut Lip Yong, Hai-O berharap dapat menambah sekurang-kurangnya 3,000 anggota aktif baharu sebulan sebelum akhir tahun ini.
"Apabila ekonomi kurang baik, itulah masanya biasanya ramai orang mencari pendapatan tambahan. Saya rasa ekonomi Malaysia sedang berada di fasa pemulihan, yang menjadikan situasi malahan bertambah baik sekarang," katanya.
Lip Yong mendedahkan bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan baharu, syarikat itu menawarkan beberapa skim insentif kepada pengedarnya yang berjaya mencapai sasaran khusus.
Baru-baru ini, syarikat itu membelanjakan RM2.4 juta untuk menghantar 426 pengedar mengerjakan Umrah di bawah skim tersebut. Ini juga merupakan kumpulan terbesar di bawah skim ini. Syarikat itu mengadakan program insentif yang sama pada 2004 dan 2007 tetapi melibatkan hanya kumpulan yang kecil.
Hai-O Marketing, yang baru-baru ini melebarkan sayapnya ke Indonesia, menyasar antara satu hingga dua tahun sebelum operasi di sana boleh mula memberi sumbangan kepada pendapatan syarikat. - Bernama
Arkib: Utusan Melayu Read more...